Rakan baik atau Rakan rapat?
Jo sekarang berumur 19 tahun, dan sedang belajar di semester ke 4, sebuah Kolej swasta di kota, tetapi mengikut laporan rakan-rakannya Jo adalah seorang yang sukar untuk menerima konsep atau istilah rakan baik dalam hidupnya.
Jo (bukan nama sebenar) tidak berminat mengambil berat tentang kawan-kawannya yang sering ingin untuk menjadi rakan karib beliau. Sekiranya rakannya bertanya semula pada dirinya akan pendiriannya, Jo hanya akan diam dan tidak menyebut apa-apa.
Ramai dalam kalangan Remaja kita mengalami masalah seperti Jo. Oleh disebabkan Jo membesar dalam keadaan di mana yang sering menyebabkan dia rasa takut, tidak tenteram dan sering di belenggu dengan dilemma dimana rakan-rakannya sering meninggalkan Jo selepas mendapat pertolongan dari dirinya dan hanya akan menghubungi Jo sekiranya mendapatkan bantuan. Mungkin juga Jo sering di kritik, dimarahi, malah dipergunakan pada suatu masa dahulu, atau masih mengalami masalah yang sama di Kolej. Jo tidak mempunyai keyakinan diri. Oleh demikian, Jo gagal membuka semula konsep atau istilah untuk 'rakan karib' dalam kamus hidupnya.
Apa yang Jo takutkan? Mungkin di bawah ini ada beberapa sebab:
- Takut menyingung perasaan rakan-rakannya kerana bahasa yang digunakan tidak sesuai atau tersalah jawab, seperti yang sering dia alami.
- Takut rasa tersisih. (rejection)
- Takut untuk disindir atau di kritik kerana tidak mempunyai wang untuk bergaul bersama rakan-rakannya.
- Takut sering dipergunakan oleh rakan-rakanya untuk sesuatu yang bukan untuk kepentingan dirinya.
Takut kritik dan dipergunakan
Perasanan ini telah wujud sejak Jo berada di bangku sekolah lagi. Kritikan yang sering diterima oleh Jo selalu adalah mengenai wang. Oleh disebabkan kebanyakan rakan-rakan karib Jo tahu bahawa Jo adalah seorang pelajar yang mempunyai kerja (Jo bekerja di sebuah studio perkahwinan sebagai pembantu jurukamera) yang mempunyai gaji tetap, rakan-rakannya sering mengambil kesempatan untuk mendapatkan wang dari Jo untuk makan dan minum. Pemikiran Jo yang masih belum matang hanya fikirkan akan keburukan sekiranya tidak melaksanakan apa yang telah dipinta oleh rakan-rakan karibnya.
Setelah beberapa tahun Jo berbuat demikian, tibalah masa dimana Jo tidak lagi mendapat sumber kewangan yang tetap kerana krisis kewangan yang dialami oleh studio perkahwinan tersebut. Dia yang dahulu boleh membantu rakan-rakannya dalam segi kewangan kini tidak lagi dapat membantu 100% seperti yang dahulu. Maka bermula pada waktu itulah rakan-rakan Jo mulai untuk meninggalkan Jo kerana dia kini tidak lagi berupaya untuk membantu dalam segi kewangan dan Jo pada waktu itu disisihkan. Jo mengubah kamus dalam hidupnya dimana rakan karib hanya sebagai rakan biasa yang hanya rapat dengannya. Bermula hari itu hilanglah istilah rakan karib dalam kamus hidupnya.
Membina kerjaya
Setelah Jo menghabiskan SPM di sekolahnya, sebuah sekolah elit di kota, Jo meneruskan penglibatannya dalam seni fotografi. Dia yang dahulu hanya sebagai seorang pembantu jurugambar kini berkerja sebagai jurugambar perkahwinan di sebuah studio perkahwinan terkemuka di bandar tersebut. Dengan peluang yang cerah untuk membina kerjayanya dalam fotografi, Jo sering mendapat pelanggan untuk mengambil gambar pra-perkahwinan. Pada waktu itu Jo berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang fotografi di Kolej swasta di kawasan semenanjung Malaysia. Malangnya, disebabkan masalah kewangan telah menghalang hasratnya untuk mengambil bidang fotografi sebagai kursus diploma yang amat diingininya. Akhirnya, beliau memilih untuk mengambil Kursus pentadbiran resort di Kolej swasta.
Wanita bernama Liz dalam dirinya
Setelah beberapa lama Jo berada di Kolej tersebut, dia mengenali seorang wanita yang telah membuka pintu hatinya untuk mempunyai rakan karib semula. Liz (bukan nama sebenar) adalah seorang wanita yang matang pemikirannya dan sangat berkebolehan dalam merancang majlis-majlis dan aktiviti-aktiviti anjurang Kolej. Semasa Jo semakin rapat dengan Liz, ketika itulah Jo dikenalkan dengan dua lagi rakan yang lain iaitu Kim dan Rae. Dalam semester ke 3, persahabatan mereka berempat semakin rapat dan sering melakukan aktiviti bersama-sama.
Kebanyakan masa diluang bersama-sama dan boleh dikatakan setiap akviti aktiviti mesti dilakukan berempat. Antaranya aktiviti water rafting, lawatan sambil belajar, aktiviti hujung minggu dan sebagainya.
Kisah silam mulai berlaku
Walaubagaimanapun, pada semester seterusnya, semua keindahan persahabatan tersebut beransur untuk hilang. Jo sekali lagi merasai apa yang dirasainya sewaktu berada di bangku sekolah dahulu. Rakan-rakanya hanya akan mencarinya pada waktu mereka hanya mempunyai masalah dan ingin mendapatkan bantuan dari dirinya. Setelah beberapa lama, Jo merasakan dirinya sekali lagi dipergunakan. Jo kini dilemma dengan apa yang dialaminya. Dia yang sangkakan rakan karib barunya boleh membantunya untuk melupakan kisah silam kini hanya mengecewakan dirinya dengan melakukan perkara yang telah membelenggu dirinya. Persoalannya sekarang, perlukah Jo menganggap rakan-rakannya yang sangat rapat itu sebagai rakan karib atau hanya sebagai rakan biasa yang rapat dengannya?
Kata penulis
Penulis tertarik untuk berkongsi masalah Jo ini kerana penulis percaya bahawa terdapat beberapa Remaja diluar yang membaca artikel ini turut mempunyai perasaan yang sama. Bagi penulis, kisah Jo ini sangat membawa kesan yang mendalam kepada diri penulis. Bagi penulis, apa yang membelenggu diri Jo sangat menyedihkan dan rakan-rakan di sekeliling beliaulah yang telah mengubah persepsi Jo dalam berkawan. Tidak ada salahnya untuk mempuyai rakan karib. Adalah lebih bagus sekiranya seseorang remaja itu mempuyai rakan karib tetapi adalah perlu bagi seseorang individu itu untuk mengenali dan mengetahui latar belakang rakan karibnya sebelum terus untuk menganggap seseorang itu sebagai rakan karib.
Terdapat perbezaan antara rakan karib dan rakan rapat. Bagi penulis, rakan karib merupakan seseorang individu yang remaja itu sendiri mempercayai dan boleh berkongsi pendapat atau masalah. Tetapi perlu adanya konsep 'Give & Take' dalam persahabatan tersebut. Rakan rapat pula adalah seseorang individu yang remaja itu sendiri rasakan dirinya sangat rapat pada individu tersebut. Walaubagaimanapun, semasa berada bersama rakan rapat, remaja itu sendiri tidak akan berkongsi masalah atau perkara-perkara yang penting semasa perbualan.
Oleh : J.R.John.L